Wednesday, June 11, 2008

HARI BAPA – Sejauh Mana Anda Menghargai Jasa Mereka

Assalamualaikum semua ...

Sudah lama tidak mengemaskini blog ni. Hari ni setelah mendengar lagu nyanyian Sudirman yang bertajuk Ayah dan Ibu, aku terpanggil untuk mencatatkan sesuatu.

Entri kali ini ialah tentang sambutan Hari Bapa. Hari bapa diraikan sempena memperingati dan menghargai pengorbanan dan jasa bapa. Ayah, papa, daddy, pak, bapak, abi atau walid. Tidak kira apa jua sekalipun gelaran yang digunakan untuk memanggil bapa anda, pengorbanan mereka terhadap anak-anak tetap sama. Jika hendak dijelaskan mungkin mustahil kerana terlalu banyak.

Tarikh sambutan Hari Bapa berbeza mengikut negara di seluruh dunia. Di Malaysia sendiri, Hari Bapa disambut pada tarikh 15 Jun setiap tahun. Kepada lelaki yang bergelar bapa, SELAMAT HARI BAPA diucapkan. Anda memang BAPA YANG HEBAT!!!

Walaupun hanya merasai kasih sayang seorang bapa selama 18 tahun sahaja, namun aku tetap menghargai segala jasa dan pengorbanannya. Wajahnya juga sering bermain di mata setiap waktu dan masih terpahat di hati. Terasa sunyi menghadapi hidup tanpa kasih sayang seorang bapa. Terasa terkilan kerana tidak berkesempatan membalas jasa-jasa beliau. Hanya doa yang dapat aku kirimkan untuk bekalannya di “sana”.

Kepada yang masih mempunyai bapa, ingatlah supaya hargai bapa anda sebelum terlambat. Tidak kiralah beliau seorang bapa yang bertanggungjawab atau tidak, tapi kita harus tahu bahawa dia juga seorang manusia biasa. Tidak terlepas dari melakukan kesilapan.

Ibu dan bapa wajib dihormati, mereka telah dikurniakan kepada kita (anak-anak) oleh Ilahi. Jangan sia-siakan anugerah yang telah diberikan kepada kita. Kerana mereka juga kita dapat menghirup udara di dunia ini dan berpeluang melihat bulan dan matahari. Telah sampai masanya kita membalas jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan kepada kita semua. Cukup dengan sekadar mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada bapa anda sudah cukup untuk membuatkan beliau tersenyum. Percayalah ...

Kepada insan yang bergelar bapa pula perlulah diingatkan supaya menjalankan tanggungjawab anda yang telah diamanahkan. Lengkapkan diri anda dengan ilmu untuk membimbing anak-anak. Diharapkan semoga para bapa sekalian dapat menjadi seorang ketua atau superhero keluarga yang dapat dibanggakan. SELAMAT HARI BAPA!

No comments: